"My 12 Weeks Journal"
- Week 11 (10/08/2013 - 16/08/2013) -
Assalamualaikum dan salam sejahtera ...
Salam Syawal semua ...
Kali ini saya ingin bercerita mengenai kisah seorang petani ...
Terdapat seorang petani yang terkenal dengan hasil buah limaunya yang bermutu tinggi. Pada suatu hari, jirannya bertanya sama ada petani itu boleh memberikan sedikit biji buah limaunya. Petani itu dengan murah hatinya memberikan biji buah limau tersebut kepada jirannya. Jiran itu berasa sungguh gembira lalu memberitahu teman-temannya yang lain.
Setelah mendengar tentang kemurahan hati petani itu, salah seorang teman jirannya pergi meminta sedikit biji buah limau daripada petani itu. Tanpa teragak-agak petani itu memberikan segenggam biji limau kepada orang itu. Tidak lama kemudian, berita tentang kemurahan hati petani itu tersebar ke seluruh bandar dan hampir setiap petani dalam kawasan itu datang berjumpa dan meminta biji limau daripada petani tersebut. Dan petani itu dengan suka hatinya memberikan biji limaunya kepada sesiapa sahaja yang meminta.
Anak lelaki petani itu hanya memerhatikan bapanya memberikan biji limaunya yang berharga itu kepada setiap orang yang meminta. Tetapi dia tidak mengerti kenapa bapanya sanggup memberikan biji limau itu dengan begitu saja. Jadi, satu hari dia bertanya kepada bapanya.
"Ayah tak risau ke kalau ayah berikan biji-biji limau kita, semua orang akan menghasilkan buah limau yang sama mutunya dengan limau kita," tanya si anak kerisauan. "Nanti, buah-buah limau kita tidak lagi unik."
"Wahai anakku, kita perlu memahami suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan ini. Apa sahaja yang kita lakukan memberi kesan ke atas orang lain. Begitu juga sebaliknya. Tindakan orang lain memberi kesan kepada kita."
"Saya tak faham," ujar anaknya.
"Kita perlu mengekalkan ketinggian mutu buah limau kita. Dan kamu juga tahu bahawa angin akan menerbangkan debunga daripada buah limau yang masak kepada buah-buah yang lain. Dan angin ini tidak faham akan erti pilih kasih. Ianya akan menerbangkan debunga kita dan juga debunga-debunga daripada buah-buah limau yang lain. Kemudian, debunga-debunga ini akan..."
Sebelum petani itu dapat menghabiskan kata-katanya, anaknya menyampuk :
"Saya faham sekarang, ayah! Debunga-debunga ini akan didebungakan, dan lambat laun buah-buah limau kita juga akan terkena kesan pendebungaan tersebut!"
Sambil tersenyum, bapanya berkata,"Ya, jika kita mahu mengekalkan mutu buah limau kita, jiran-jiran kita juga perlu mempunyai buah limau yang tinggi mutunya,"
H.E. Luccock juga pernah berkata:
Satu orang tidak dapat menghasilkan sebuah simfoni. Ianya memerlukan sebuah orkestra.
Kesimpulannya, kita saling memerlukan antara satu sama lain kerana kehidupan kita saling berkaitan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Jadi, tiada sebab untuk cemburu atau menaruh perasaan hasad dengki kerana ia hanya merugikan kita semula.
Have a nice day :)
nice..:)
ReplyDelete