
"My 12 Weeks Journal"
- Week 8 (20/07/2013 - 26/07/2013) -
Assalamualaikum dan salam sejahtera ...
Salam Ramadhan semua ...
Minggu ini merupakan minggu kelapan dalam perjalanan jurnal 12 minggu saya. Bulan Ramadhan juga sudah sampai di pertengahannya. Cepat sungguh masa berlalu.
Seperti biasa, saya meluangkan masa membaca cerita-cerita di Internet. Dalam banyak-banyak kisah, saya tertarik dengan satu kisah berkaitan perspektif. Begini ceritanya ...
Faizal dan Mimi adalah pesakit di sebuah rumah sakit mental. Pada suatu hari, mereka berjalan di tepi kolam renang yang terdapat di hospital tersebut. Tiba-tiba, Mimi melompat masuk ke dalam kolam renang yang dalam itu dan terus tenggelam. Tanpa memikirkan tentang keselamatannya, Faizal terjun dan menarik Mimi ke permukaan air. Dia mengeluarkan Mimi daripada kolam renang dan berjaya menyelamatkan Mimi.
Keesokan harinya adalah hari pemeriksaan bagi Faizal, di mana dia diperiksa setahun sekali untuk menentukan keadaan mentalnya. Dia dibawa berjumpa dengan lembaga pengarah hospital, di mana pengarah hospital itu memberitahunya,"Faizal, saya ada berita baik dan berita buruk untuk awak.
Berita baiknya, oleh kerana awak menyelamatkan Mimi semalam, kami menganggap awak sudah siuman. Jadi, awak boleh meninggalkan rumah sakit ini dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Sementara berita buruknya pula, Mimi, pesakit yang awak selamatkan itu menggantung diri di bilik mandi dengan tali pinggangnya sejurus selepas awak menyelamatkannya. Mimi sudah meninggal dunia."
"Dia tidak menggantung dirinya sendiri," jawab Faizal."Saya yang menggantungkannya sebab saya mahu mengeringkannya."
Dalam kisah ini, Faizal sebenarnya hanya mahu menyelamatkan Mimi. Di dalam dunianya yang serba aneh itu, dia menyamakan Mimi yang basah kuyup dengan tuala basah, jadi dia mahu 'menjemur' Mimi untuk mengeringkannya. Ya! Niatnya baik.
Bagi kita, apa yang dilakukan oleh Faizal adalah sesuatu yang salah dan tidak boleh diterima, tetapi tidak bagi Faizal kerana Faizal dan kita masing-masing berfikir dari perspektif yang berbeza.
Pepatah Inggeris ada menyebut bahawa terdapat dua permukaan pada setiap duit syiling (there are always two sides of a coin).
Contohnya, hujan. Ada orang mengatakan hujan itu menyusahkan tetapi tidak bagi sesetengah orang yang menganggap hujan itu menyamankan.
Aiskrim menggemukkan? Tidak! Ianya memberi tenaga segera.
Permainan bola sepak adalah permainan pelik di mana 22 orang lelaki mengejar bola ke sana-sini? Tidak! Permainan ini memberi peluang pekerjaan kepada berjuta orang di seluruh dunia.
Kesimpulannya, setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza-beza. Namun, biarlah setiap perspektif memberi manfaat dan boleh meningkatkan tahap pemikiran kita.
Have a nice day ...;p
